Monday, October 6, 2008

Nicol mahu rampas gelaran dunia

Selepas mengharungi musim 2008 yang cemerlang dengan memenangi semua tujuh kejohanan yang disertai, ratu skuasy negara, Datuk Nicol David bakal berdepan cabaran terbesar tahun ini - merampas kembali kejuaraan dunia di Manchester, 11-19 Oktober ini. Nicol muncul juara dunia dua kali berturut-turut pada 2005 dan 2006, namun tewas mengejut kepada pemain New Zealand, Shelly Kitchen pada pusingan kedua, tahun lalu. Bagaimanapun tahun ini, pemain nombor satu dunia itu mempamerkan kebangkitan hebat apabila merangkul tujuh gelaran berturut-turut, bermula dengan menjuarai Terbuka Apawamis, Terbuka Kuala Lumpur, Terbuka Britain, Terbuka Seoul, Terbuka Malaysia, Singapura Masters dan Terbuka Belanda.
Di Manchester, Nicol yang turut menjadi calon utama Pemain Terbaik Dunia 2008, diletak sebagai pilihan pertama untuk memenangi kejuaraan dunia buat kali ketiga, meskipun berpotensi berdepan Kitchen sekali lagi pada separuh akhir. Malah, dua musuh tradisinya, penyandang juara dan pemain nombor dua dunia, Rachael Grinham serta adiknya, Natalie Grinham juga bakal menjadi ancaman utama Nicol dalam usaha memburu gelaran dunia 2008. Tetapi, masih ada lagi pemain-pemain dunia yang lain yang harus juga Nicol hadapi.

Tarikh : 07 Oktober 2008
Sumber : Utusan Malaysia

No comments: